Saturday, July 18, 2009

Gerak Msia

Gerakan Rakyat Integriti & Anti Korupsi (Gerak Malaysia) dan Majlis Integriti Angkatan Muda Malaysia menyarankan agar pihak polis dan SPRM menyegerakan pengumuman hasil siasatan lengkap kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Pengumuman segera ini amat penting bagi mengelakkan spekulasi negatif berterusan terhadap kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga memberikan penjelasan seadilnya terhadap masyarakat umum dan keluarga mangsa tentang kejadian.

Justeru, Gerak Malaysia menyarankan empat langkah segera yang perlu diambil oleh SPRM bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seumpama ini berlaku lagi. Saranan tersebut adalah:

1) Pihak SPRM hendaklah dengan kadar segera memasang kamera litar tertutup (CCTV) disetiap cawangan SPRM Negeri termasuk di bilik siasatan dan ruang premis berkenaan pada lokasi yang strategik.

2) Jangka waktu siasatan haruslah ditetapkan dengan waktu yang lebih wajar dan tidak melebihi jam 9.00 malam bagi mengelakkan risiko keselamatan terhadap saksi.

3) Bagi kes-kes penting dan memerlukan rakaman percakapan dalam tempoh 24 jam, pihak SPRM adalah wajar untuk memastikan keselamatan saksi termasuk menyediakan pengawal pengiring sehingga dipastikan saksi selamat beredar daripada pejabat SPRM.

4) Saksi yang terpaksa disiasat sehingga lewat malam haruslah dipastikan pulang dengan sekurang-kurangnya dua orang wakil keluarga yang boleh datang mengambil saksi bagi memastikan kondisi mental, fizikal dan emosi terakhir saksi selepas di soal siasat oleh pihak SPRM.

Gerak Malaysia yakin jika langkah-langkah segera ini diambil, maka kemalangan yang tidak diingini terhadap saksi boleh dikurangkan risikonya secara segera.

Dalam masa yang sama, Gerak Malaysia berharap agar pihak SPRM terus mengekalkan darjah profesionalisme dengan tidak hanya menyiasat kes-kes terpilih. Kita juga menyarankan agar mana-mana pihak yang terlibat dalam siasatan termasuk saksi memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kelancaran siasatan.

Mana-mana saksi yang diugut sama ada oleh pegawai SPRM ketika siasatan ataupun oleh orang luar yang disyaki terlibat dengan rasuah adalah wajib melaporkan kejadian itu terhadap pihak Jawatankuasa Aduan SPRM atupun pihak polis bagi memudahkan tugasan pihak berkuasa melakukan pemantauan terhadap keselamatan saksi.

Gerak juga bersetuju dengan langkah Kerajaan Negeri Selangor untuk melantik pakar patologinya sendiri bagi membantu pakar-pakar patologi polis dalam melengkapkan kertas siasatan kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor terbabit. Langkah ini juga penting bagi memastikan ketelusan, keadilan dan dapat memuaskan hati kelurga mangsa terhadap laporan siasatan nanti.

Dalam perkembangan lain, Gerak Malaysia amat mengalu-alukan langkah SPRM untuk menubuhkan panel baru yang mewakili rakyat awam bagi memaklumkan keputusan yang telah dibuat SPRM terutamanya kes-kes yang tidak dituduh di mahkamah. Panel baru ini bertanggungjawab untuk menyenaraikan sebab-sebab dan faktor-faktor kes yang tidak dituduh di mahkamah supaya orang ramai faham mengapa kes-kes itu tidak dibawa ke mahkamah.

Jika sebelum ini ramai yang beranggapan SPRM tutup kes tetapi sekurang-kurangnya dengan adanya panel baru yang mewakili rakyat awam ini , maka daptlah dimaklumkan kepada orang ramai apakah faktor dan sebab-sebab rasional tersebut.

Gerak juga menyarankan agar semua pihak bertenang dan memberikan ruang buat pihak polis dan pakar perubatan menjalankan siasatan bagi memastikan keadilan buat semua. Jika terdapat bukti ada pihak yang bersalah, Gerak Malaysia menyokong tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang bersalah tersebut. Jika tidak berlaku kesalahan maka nama baik SPRM juga wajar untuk dibersihkan dan tidak dilakukan tuduhan melulu terhadap mereka.

MOHD NAZREE MOHD YUNUS
Pengerusi GERAK MALAYSIA &
Majlis Integriti Angkatan Muda Malaysia

1 comment:

khairil izwan said...

uisk..iyeke..Tabuan tu Bekas mufti perlis tuh...hahaha punyela dasyat dok berbahas dengan dia..patutla..ok terima kasih sahabat